BATU PAHAT: Penjaga stor didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan teman wanita kerana tidak membalas mesej dihantar melalui WhatsApp, Khamis lalu.
Tertuduh, Muhamad Nurhaqimi Harun, 20, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencederakan teman wanitanya berusia 20 tahun di sebuah kedai haiwan peliharaan di Jalan Parit Bilal, di sini, 12.15 tengahari, 10 Oktober lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
https://x.com/BuletinTV3/status/1846806122029592596
Video: NSTP
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika teman wanitanya menghantar makanan tengahari di tempat kerja tertuduh.
Siasatan polis mendapati, perang mulut berlaku antara mangsa dan tertuduh kerana wanita itu tidak berpuas hati mesej ‘Good Morning Sayang’ yang dihantar tidak dibalas.
Suasana bertukar menjadi tegang apabila tertuduh berang lalu menampar pipi kiri mangsa hingga mengakibatkan cedera ringan.
Susulan kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini serta membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Shariff.
Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM800 terhadap tertuduh.
Pada masa sama, mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda dikenakan terhadapnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.