comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kubur Wang Kelian: 4 lelaki Thailand didakwa dibawah akta ATIPSOM

 

Oleh: Kumaran Rajamoney

KANGAR: Empat lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, atas kesalahan melakukan penyeludupan migran di antara tahun 2013 hingga 2015.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Empat warga Thailand diekstradisi akan didakwa hari ini

Tertuduh pertama Amree Nesalaeh, 58 didakwa menjalankan penyeludupan migran warganegara Myanmar, Zedul Islam di antara Februari 2013 sehingga April 2013 di Bukit Wang Burma, Wang Kelian.

Tiga lagi tertuduh, Jehpa Lapi-E (56), Arun Kaeofainok (29), dan Somphon A-Dam (51) pula didakwa menjalankan penyeludupan migran warganegara Myanmar, Mohd Belal di antara bulan Ogos 2014 sehingga 10 Mac 2015 di Bukit Wang Burma, Wang Kelian.

Kesemua tertuduh didakwa dibawah Seskyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Kesemua tertuduh mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan hakim, Musyiri Peet di Mahkamah Sesyen Kangar, di sini.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Muhammad Asyraf Md Kamal, V V Suloshini dan Lee Jun Keong.

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam dan sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Julai ini.

Untuk rekod, kesemua empat tertuduh merupakan individu yang diekstradisi dari Thailand melibatkan kes kubur besar Wang Kelian yang ditemui pada Mei 2015.

Polis menemui 139 kubur di 28 kem sementara berhampiran sempadan Thailand-Malaysia yang mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan orang.

Kubur sama turut dijumpai di Thailand, melibatkan mangsa warganegara Myanmar dan Bangladesh.

Loading...
Terkini