Tumpuan :
Mahkamah

Kontraktor tidak mengaku tumbuk, tampar nenek & ibu saudara

Nava Rajan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini atas pertuduhan menumbuk dan menampar nenek serta ibu saudaranya. – FOTO: NSTP

TELUK INTAN: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menumbuk dan menampar nenek serta ibu saudaranya, Isnin lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, M D Nava Rajan, 34, didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas ibu saudaranya P Rajaspary, 68, dengan cara menumbuk muka mangsa di sebuah rumah di Taman Indah Jaya, di sini, pada 10.30 malam, 5 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas neneknya R Kamalam, 90, dengan cara menampar muka mangsa di lokasi dan masa yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Nava Rajan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan iaitu penjara yang dua kali ganda tempoh ditetapkan, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Ainaa Liyana Mohd Talal menawarkan ikat jamin RM6,000 untuk kedua-dua pertuduhan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Kumaresan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan ikat jamin minimum atas alasan anak guamnya perlu menanggung dua anak dan ibu bapa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tidak berjumpa atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 September depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini