comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kontraktor direman disyaki subahat palsukan dokumen darjah kebesaran

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang pengurus syarikat kontraktor direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini kerana disyaki bersubahat memalsukan dokumen Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka.

Perintah tahanan reman sehingga 12 November itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin.

Suspek tiba di perkarangan mahkamah diiringi pegawai SPRM kira-kira jam 9.30 pagi tadi.

Terdahulu suspek lelaki berusia 56 tahun itu ditahan dan diminta hadir bagi memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka di Alai, Melaka, jam 3 petang semalam.

Difahamkan suspek bersubahat dengan seorang pengurus syarikat pelancongan bergelar Datuk dengan mengemukakan satu dokumen mengandungi butiran palsu.

Dokumen berkenaan dipercayai Surat Pengesahan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka kepada Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka bagi mendaftarkan diri sebagai Ahli Majlis tersebut.

Penahanan reman tersebut dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana membuat tuntutan palsu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau 10,000 ringgit mengikut mana lebih tinggi.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek berkenaan.

Loading...
Terkini