comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kontraktor didenda RM40,050 subahat palsu dokumen

Norman Jamil, 43 (kiri) didenda RM40,050 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini, kerana bersubahat palsukan dokumen, empat tahun lalu. FOTO: NSTP

TAWAU: Seorang kontraktor didenda RM40,050 oleh Mahkamah Khas Rasuah, di sini selepas mengaku salah terhadap sembilan pertuduhan pilihan bersubahat mengemukakan dokumen palsu untuk mendapatkan kerja penyelenggaraan berjumlah lebih RM1.1 juta, empat tahun lalu.

Hukuman diputuskan Hakim Jason Juga selepas Norman Jamil, 43, mengaku salah terhadap semua pertuduhan pilihan dan mensabitkannya mengikut Seksyen 471/465 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pilihan itu, tertuduh didakwa bersubahat dengan kontraktor yang juga rakan kongsinya Lahama Abdul Halim, 46, menggunakan dokumen palsu iaitu penyata bank syarikat Fajar Mario Engineering kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin 2020.

Semua dokumen palsu itu digunakan untuk tujuan menipu bagi mendapatkan Sebut Harga kerja Penyelenggaraan Bangunan dan Pagar, Baik Pulih, Naik Taraf Dan Kemudahan Lain yang berkaitan di tiga sekolah menengah iaitu masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan, SMK Balung dan SMK Kalabakan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekolah terbabit antara 17 hingga 28 Julai 2020.

Pada 9 Ogos tahun lau, tertuduh didakwa di mahkamah sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 471 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Jason menetapkan tertuduh didenda RM4,450 bagi setiap pertuduhan, penjara 18 bulan jika gagal membayar denda, manakala sembilan pertuduhan utama digugurkan, selain deposit dan pasport antarabangsa dikembalikan kepada tertuduh.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Izzati Sapifee bersama Pegawai Pendakwa Norsham Saharom, manakala tertuduh diwakili peguam Arthur Borine.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini