comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Konstabel polis didakwa atas kesalahan rasuah 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Abdul Aziz Mustapha, 32 tahun, bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Besut, Terengganu, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, pada September 2023, tertuduh didakwa meminta wang suapan sebanyak RM2,000 dan telah menerima wang suapan sebanyak RM1,000 daripada dua lelaki yang disyaki terlibat dengan penggunaan bahan terlarang.

Suspek meminta rasuah bagi tujuan untuk tidak mengambil tindakan menahan kedua-dua lelaki tersebut.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 17 (a) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Mahkamah telah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah juga menetapkan tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan, serta perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan arahan lapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

11 November depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes dan untuk serahan dokumen.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadhly Zamry, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Abdul Rahman Ab Razak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini