KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes lelaki warga Israel, Avitan Shalom, ditangguhkan pada Selasa akibat ketiadaan jurubahasa Ibrani.
Hakim Norina Zainol Abidin memutuskan demikian selepas peguam tertuduh, Datuk Naran Singh, memohon agar jurubahasa disediakan bagi menterjemah keterangan saksi pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, tidak membantah permohonan itu, dengan menyatakan ia adalah hak pembelaan.
Hakim Norina memaklumkan bahawa tarikh kehadiran jurubahasa Ibrani masih belum dapat disahkan.
“Oleh itu setakat hari ini, mahkamah akan menangguhkan perbicaraan pada esok (Selasa) tetapi bersiap sedia sekiranya tiada jurubahasa Ibrani tersedia.
“Jurubahasa mahkamah akan menterjemah kepada tertuduh dalam bahasa Inggeris menggunakan bahasa yang mudah.
“Jika kamu (tertuduh) tidak faham, sila angkat tangan dan maklumkan kepada mahkamah,” katanya.
Susulan itu, Hakim meminta isu berkenaan dibangkitkan dalam prosiding seterusnya.
Sebelum ini, Avitan ditahan pada Mac tahun lalu selepas didapati memiliki enam pucuk pistol, termasuk Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer, dan Stoeger, bersama 200 butir peluru yang disimpan dalam beg miliknya.
Siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB) mendapati tertuduh memasuki Malaysia pada 12 Mac menggunakan pasport Perancis menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.