Tumpuan :
Mahkamah

Kesilapan teknikal, kes lafaz cerai Along Cham, Afreena tangguh 8 Mei

Hakim memutuskan 8 Mei sebagai tarikh perbicaraan baharu bagi pengesahan lafaz cerai Along dan Afreena yang dipercayai berlaku pada Jun tahun lalu. – FOTO: NSTP

SEPANG: Kes tuntutan pengesahan lafaz cerai pelakon dan pelawak, Along Cham, 42, terhadap isterinya, Afreena Suhaimi, 33, ditangguhkan kepada tarikh baharu.

Perkara itu diputuskan oleh Hakim Muhamad Nazri Basrawi selepas mendapati dokumen dilampirkan oleh Along kepada Mahkamah Rendah Syariah Sepang, di sini, tidak lengkap.

Berikutan itu, hakim memutuskan 8 Mei depan sebagai tarikh perbicaraan baharu bagi pengesahan lafaz cerai yang dipercayai berlaku pada Jun tahun lalu.

Pada masa sama, hakim turut memerintahkan Along melantik peguam syarie mewakilinya bagi memudahkan proses dan tujuan pembelaan.

Along atau nama sebenarnya, Muhammad Nizamuddin Ahmad berkata, dia akan memfailkan penyata tuntutan baharu, hari ini.

“Ada kesilapan komunikasi ketika saya mengisi borang berkaitan lafaz cerai dibuat pada Jun tahun lalu, selepas dua bulan kami berkahwin. Jadi saya kena buat pemfailan semula.

“Kalau ikutkan cerai memang sudah berlaku, saya lega bila hakim pun katakan nak sahkan apa lagi kerana ia sudah berlaku. Cuma, saya kena tunggu keputusan rasmi selepas pemfailan semula.

“Saya tidak melantik peguam atas nasihat dari pejabat agama, mereka katakan untuk tuntutan pengesahan, tak perlu. Jadi, saya tak sangka ada kesilapan teknikal. Insya-Allah, saya akan lantik peguam sebab defendan pun bawa peguam,” katanya yang ditemui di perkarangan mahkamah selepas selesai prosiding tengah hari tadi.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Afreena, Mohamad Iezwan Ielias berkata, pihak mahkamah meminta Along memperbetulkan penyata tuntutan kerana apa yang dimasukkan tidak dibuat secara teratur.

“Mahkamah tidak mahu proses ini ‘carca marba’, kerana dokumen dimasukkan ada berlaku pertindihan, patutnya nombor dua jadi nombor satu. Jadi, itu yang mahkamah minta betulkan.

“Kami tiada bantahan untuk kes ini dibicarakan terus, tapi disebabkan berlaku kesilapan jadi mahkamah terpaksa tangguh sebab kena masukkan penyata tuntutan sudah dipinda. Kami pula akan masukkan pembelaan,” katanya.

Afreena mengakui, agak kecewa apabila perkara itu tertangguh berikutan kesilapan dokumentasi.

“Perkara ini sudah lama sangat tertangguh, bukan sebulan atau tiga bulan, lebih enam bulan,” katanya.

Terdahulu, Along memfailkan permohonan lafaz cerai taklik terhadap Afreena di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 10 Februari lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL  BERKAITAN

Loading...
Terkini