IPOH: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu kesan corak pakaian pelajar, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie tidak sepadan dengan tayar Perodua Ativa dipandu pegawai polis, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak dalam insiden perlanggaran, dua tahun lalu.
Pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden S Dasarathan, 46, dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh memaklumkan perkara itu berdasarkan hasil analisa forensik kriminalistik.
Saksi pendakwaan ke-33 itu berkata, hasil analisa itu juga mengesahkan bahawa kesan geseran kesan koyakan pada pakaian yang dipakai Zaharif adalah akibat bergeser dengan permukaan keras dan kasar.
“Kesan geseran dan kesan koyakan pada baju-T, seluar panjang, seluar dalam, topi keledar, beg galas dan kasut (dipakai Zaharif) adalah konsisten bergeser dengan permukaan yang keras dan kasar.
“Walaupun terdapat kesan tekapan bercorak pada baju-T dan seluar panjang itu, namun tidak dapat menentukan sama ada kesan terbabit adalah kesan tayar ataupun tidak kerana tiada sampel perbandingan disertakan.
“Selepas tekapan tayar diambil dan dihantar untuk analisa, hasil analisa dilakukan ahli kimia mendapati, kesan tekapan bercorak pada baju-T dan seluar panjang adalah tidak sepadan dengan kesan tekapan tayar pada kesemua bungkusan kertas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan bertulis di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada hari ke-21 prosiding perbicaraan kes Mohd Nazri didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi.
Dasarathan berkata, analisa kimia terhadap spesimen darah Mohd Nazri dan Zaharif pula mendapati kedua-dua suspek dan si mati bukan di bawah pengaruh alkohol dan dadah ketika perlanggaran terjadi.
Saksi itu juga mengesahkan berlaku perlanggaran antara bahagian belakang motosikal Yamaha 135LC ditunggang Zaharif berlanggar dengan bahagian hadapan sebelah kanan Perodua Ativa dipandu Mohd Nazri.
Beliau berkata, ia berdasarkan kerosakan dan penemuan kepingan cat asing serta bahan asing pada kenderaan terbabit.
Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri, 46, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Pegawai kanan polis itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.