PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini diberitahu tiada gambar gunting, tali dan pisau diambil dari lokasi kejadian meskipun ia diserahkan oleh pegawai penyiasat kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Saksi pendakwaan kedua, Koperal Sulaimen Razak yang juga jurugambar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, mengesahkan dia tidak mengambil barangan itu daripada lokasi kejadian.
Haresh: Mengikut laporan kimia kami terima, terdapat lebih kurang enam stoking yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa, berapa gambar stoking anda ambil untuk tujuan siasatan?
Sulaimen: Saya ambil dua gambar stoking.
Haresh: Boleh beri deskripsi stoking apa, jenis kanak-kanak, dewasa atau wanita?
Sulaimen: Saya tidak tahu.
Haresh: Mengikut laporan kimia, 14 pisau dirampas polis dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa, berapa gambar pisau diambil?
Sulaimen: Tiada satu pun.
Haresh: Mengikut laporan kimia, terdapat enam gunting dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisa, berapa gambar gunting diambil?
Sulaimen: Tiada gambar gunting diambil.
Haresh: Mengikut laporan kimia, tiga utas tali dihantar ke Jabatan Kimia, berapa gambar tali diambil?
Sulaimen: Tiada gambar tali.
Sementara itu, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian, saksi itu mengemukakan 130 gambar antaranya kesan kecederaan telinga dan luka di tangan kanan Orang Hilang (OH), gambar laluan ke anak sungai tepi blok R, laluan semak ke anak sungai, tempat mangsa dijumpai berdekatan ranting kayu dan lencana baju sekolah.
Bagaimanapun semasa prosiding, saksi itu tidak mengesahkan bahawa mayat itu adalah Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.
Sulaimen, 42, ketika memberi keterangan berkata, gambar yang diambil pada 11 Disember 2023 itu terdapat kesan kecederaan di bahagian telinga kiri dan tangan kanan kanak-kanak itu.
Saksi itu memberitahu mayat mangsa berada di tepi tebing laluan sungai dengan takungan air di sebelah atas manakala mayat mangsa di sebelah bawah.
Kamarul Iman: Gambar 23 dan 24 gambar apa?
Sulaimen: Gambar mangsa dijumpai di tepi tebing dengan takungan air di sebelah atas dan mangsa di bahagian bawah.
Kamarul Iman: Gambar 30 gambar apa?
Sulaimen: Gambar lencana sekolah.
Kamarul Iman: Terletak di mana?
Sulaimen: Bahagian atas sebelah kiri poket pakaian mangsa.
Mengulas lanjut dalam keterangannya, saksi sama turut menyatakan dia diarahkan ke sebuah kondominium yang jaraknya 500 meter dari Apartmen Idaman pada 11 Disember 2023 untuk mengambil barang kes.
Kamarul Iman: Gambar 4,5,6, 7 jelaskan gambar apa?
Saksi: Gambar saya berdiri di tepi longkang berhampiran pintu masuk kondo laluan air longkang dan gambar stoking.
Kamarul Iman: Boleh nyatakan gambar stoking berada di mana?
Sulaimen: Berada di atas tebing tepi longkang.
Sulaimen juga mengesahkan stoking itu sudah dialihkan oleh forensik sementara menunggu ketibaannya.
“Hujan agak lebat, forensik mengalihkan barang kes (stoking) ditemui dalam longkang ke tepi tebing, bimbang jika saya lewat sampai, barang kes akan hanyut,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berusia berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.