comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes Zayn Rayyan: Kebocoran didakwa bahan bukti berkait siasatan, pembelaan tidak dapat sahkan 

PETALING JAYA: Pihak pembelaan bagi ibu bapa Zayn Rayyan belum menerima maklum balas daripada polis berhubung kebocoran gambar dan maklumat didakwa berkaitan siasatan kes kematian kanak-kanak autistik itu yang dimuat naik dalam media sosial.

Peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, berkata akaun Telegram terbabit mengeluarkan maklumat yang didakwa adalah bahan bukti, sebelum laporan polis dibuat pihaknya.

“Akaun media sosial itu mengeluarkan dua bahan bukti yang saya tidak boleh sahkan. Hingga kini, kami belum menerima apa-apa maklum balas daripada polis sama ada siasatan sudah dibuka atau dilanjutkan kepada Jabatan Peguam Negara… kami tiada maklumat.

“Kami tidak membuat sebarang laporan polis lagi berhubung kebocoran dikatakan gambar ‘post mortem’.

“Kami baru saja menerima gambar bedah siasat, hari ini, dan akan berbincang dengan anak guam serta keluarga mereka sama ada untuk membuat laporan polis kedua berkaitan gambar berkenaan, sebab kami nak tengok gambar itu betul atau tidak,” katanya pada sidang media selepas prosiding sebutan pertama di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai, di sini, pada jam 12 tengah hari 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ia berserta tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan bawah subseksyen itu menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah serta melaksanakan khidmat masyarakat.

Sehari selepas itu, keluarga Zayn Rayyan membuat laporan polis berhubung maklumat tular dalam akaun Telegram yang didakwa berkaitan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini