Tumpuan :
Mahkamah

Kes Zayn Rayyan: Hakim akan lawat persekitaran lokasi kejadian ‘Orang Hilang’

PETALING JAYA: Hakim dan pihak-pihak terbabit dalam perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin akan melawat kawasan persekitaran Apartment Idaman, Damansara Damai.

Bagaimanapun masa dan tarikh melawat kawasan itu belum ditetapkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz mengemukakan permohonan lisan untuk melawat kawasan itu yang dikaitkan dengan siasatan kes ‘Orang Hilang’ berikutan laporan polis yang dibuat Ismanira.

Katanya, lawatan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum Mahkamah Sesyen di sini meneruskan sesi pemeriksaan utama terhadap dua pegawai polis pada perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan dan Ismanira.

Pihak pendakwaan berpendapat, keterangan lanjut saksi pendakwaan keempat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin dan saksi pendakwaan kelima, Asisten Superintendan Nor Zaharuddin Sanip hanya boleh dikemukakan selepas lawatan dilakukan.

Sehubungan itu, Hakim Dr Syahliza Warnoh menangguhkan sesi pemeriksaan utama terhadap kedua-duanya sementara menunggu lawatan dilakukan yang turut membabitkan penyediaan lojistik dan keselamatan.

Sebelum ini, perbicaraan yang bermula 3 Februari lalu mendengar keterangan dua jurugambar yang merakam gambar-gambar tempat kejadian berkaitan laporan polis yang dibuat Ismanira berhubung kehilangan anaknya.

Antara gambar yang dikemukakan di mahkamah termasuk lokasi ‘Orang Hilang’ ditemukan iaitu di tepi tebing laluan anak sungai berdekatan Blok R, Apartmen Idaman.

Mayat itu ditemukan berhampiran takungan air dalam keadaan berpakaian lengkap dengan lencana sekolah manakala terdapat kecederaan di tangan kanan dan luka di telinga kiri.

Menurut pertuduhan, mereka sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun (ketika kejadian), didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini