Tumpuan :
Mahkamah

Kes Zayn Rayyan: Ada kesan kecederaan pada mayat kanak-kanak yang ditemui

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

PETALING JAYA: Terdapat kesan kecederaan di bahagian telinga kiri dan tangan kanan pada mayat Orang Hilang (OH) iaitu seorang kanak-kanak lelaki yang ditemui di tepi tebing laluan anak sungai berhampiran takungan air berdekatan Blok R, Apartment Idaman di Damansara Damai, Petaling Jaya,Selangor pada Disember 2023.

Perkara itu diberitahu Saksi pendakwaan kedua, Koperal Sulaimen Razak, 42, yang juga jurugambar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata berdasarkan gambar-gambar yang diambil pada Disember 2023.

Bagaimanapun semasa prosiding di Mahkamah Sesyen saksii itu tidak mengesahkan bahawa mayat tersebut adalah Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwaraya Kamarul Iman Ahmad Sapian, saksi itu turut berkata mayat mangsa berada di tepi tebing laluan sungai dengan takungan air di sebelah atas manakala mayat mangsa di sebelah bawah.

Pendakwaraya: Gambar 23 dan 24 gambar apa?

Saksi: Gambar mangsa dijumpai di tepi tebing dengan takungan air di sebelah atas dan mangsa di bahagian bawah.

Pendakwaraya: Gambar 30 gambar apa?

Saksi: Gambar lencana sekolah

Pendakwaraya: Terletak dimana (lencana sekolah).

Saksi: Bahagian atas sebelah kiri poket pakaian mangsa.

Dalam pada itu saksi ketiga, Koperal Nurul Khairina Mohammad Zuki, 35, yang merupakan anggota dari Balai Polis Sri Damansara berkata, beliau merupakan anggota polis yang menerima laporan mengenai seorang kanak-kanak autistik yang hilang pada 5 Disember 2023 pukul 5.45 petang daripada seorang wanita yang dikenali sebagai Ismanira.

“Dalam laporan itu pengadu mengatakan pada pukul 12 tengahari dia mahu menaiki tangga untuk balik ke blok R, pengadu sedari anak lelaki pengadu tiada di belakang pengadu.

“Pengadu ada menyatakan anaknya ada memberontak sebab tidak ikut kemahuan. Pengadu menjelaskan anak lelakinya orang kelainan upaya (OKU), autistik dan tidak boleh bertutur,” kata saksi itu.

Semasa prosiding peguam Haresh Mahadevan mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini