comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes Zayn Rayyan: 5 pemilik akaun TikTok didakwa lakukan buli siber terhadap ibu bapa mangsa 

PETALING JAYA: Pihak pembelaan memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini hari ini, bagi mendapatkan perintah larangan bersuara (gag order) dikeluarkan terhadap lima Tiktokers yang didakwa memuat naik kandungan bersifat subjudis terhadap ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan.

Peguam bela, Fahmi Abd Moin, yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, memaklumkan kepada Hakim Dr Syahliza Warnoh, terdapat  lima akaun TikTok menggunakan nama CEO Zayn Rayyan; Myraskitchen00; cikpika_pika_ii; BeMalaysian 2.0 dan Malaikat Maut 382; memuat naik kandungan seolah-olah buli siber terhadap anak guamnya.

“Sejak kes ini disiasat dan didakwa, kami memantau pautan video di aplikasi TikTok, banyak video-video dimuatnaik dan siaran langsung dibuat Tiktokers yang bagi kami menyajikan kandungan merosakkan dan bersifat subjudis dan boleh dikatakan buli siber kepada tertuduh, keluarga dan peguam.

“Kelima-lima akaun TikTok ini memuat naik video mengecam, berbau hasutan dan komen subjudis kepada anak guam.

“Kami mohon akaun ini diberikan gag order, dan sekiranya mereka melanggar perintah ini besar kemungkinan kami akan membuat laporan polis untuk memberhentikan tindakan mereka ini,” katanya dalam prosiding sebutan kes pertama bersama peguam, Ilyani Khuszairi.

Mendengar permohonan pihak pembelaan itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar berkata, memandangkan perkara itu baharu diberitahu kepada pendakwaan pagi ini, pihaknya masih belum sempat meneliti akaun-akaun berkenaan.

“Kami memohon pihak pembelaan membuat satu permohonan baharu disertakan afidavit untuk ditunjukkan kepada mahkamah. Pada peringkat ini, kami rasakan permohonan perintah larangan bersuara adalah pramatang, namun saya serah kepada budi bicara mahkamah,” katanya.

Mendengar jawapan daripada Nurul Qistini, Fahmi bagaimanapun memohon mahkamah untuk memberikan satu notis kehakiman sebagai amaran kepada kelima-lima individu berkenaan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Dr Syahliza tidak memberikan sebarang perintah larangan bersuara, bagaimanapun mengarahkan pihak pembelaan membuat laporan kepada pihak berkuasa yang relevan, sekiranya ada kandungan mengundang komen subjudis yang menghina mahkamah.

“Pada prosiding sebelum ini, mahkamah sudah membuat perintah larangan bersuara untuk pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini, namun sekiranya terdapat aduan lanjut mengenai perkara ini, pihak pembelaan boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa yang relevan.

“Mahkamah sekali lagi ingin mengingatkan semua pihak terutamanya orang awam, supaya tidak membuat komen subjudis yang menghina mahkamah,” kata Hakim itu.

Sementara itu, pihak pendakwaan mengesahkan sudah menyerahkan sebahagian besar dokumen perbicaraan termasuk penyataan yang direkodkan daripada ibu bapa Zayn Rayyan serta gambar-gambar tempat kejadian berkaitan kes pengabaian kanak-kanak autisme itu.

Nurul Qistini memberitahu mahkamah hari ini, laporan forensik dan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masih belum diberikan kepada pasukan pembelaan kerana masih dalam peringkat penyediaan.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon satu lagi tarikh sebutan bagi membolehkan baki dokumen itu diserahkan sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.

Dr Syahliza kemudian menetapkan 18 September depan untuk status penyerahan dokumen.

Untuk rekod, 28 Jun lalu, Zaim dan Ismanira, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan.Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 29 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Pada 6 Disember tahun lalu,, mayat kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini