comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes Zayn Rayyan: 18 September tarikh baharu sebutan semula kes 

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan 18 September depan sebagai tarikh baharu sebutan semula kes terhadap ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang didakwa mengabaikan kanak-kanak austisme itu, Disember tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh menetapkan tarikh tersebut, bagi pihak pendakwaan melengkapkan semua dokumen berkaitan kes berhubung ibu bapa Zayn Rayyan yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya masih belum menerima serahan laporan bedah siasat dan rakaman litar kamera tertutup (CCTV) dan memohon tarikh baharu bagi melengkapkan semua dokumen.

Peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh itu, Fahmi Abd Moin berkata, beliau bersama anak guamnya perlu hadir sekali lagi ke mahkamah pada tarikh itu untuk pengurusan kes.

“Pihak kami telah pun menerima sebahagian daripada dokumen-dokumen yang akan (dan) bakal digunakan untuk perbicaraan kelak namun terdapat lagi dua dokumen iaitu laporan bedah siasat serta salinan rakaman litar kamera tertutup (CCTV) belum lagi diserahkan oleh pihak pendakwaan.

“Atas sebab dan alasan tersebut, pihak pendakwaan telah pun memohon satu tarikh lanjut untuk serahan dokumen-dokumen tersebut pada 18 September 2024,” katanya dalam satu sidang media selepas prosiding hari ini.

Untuk rekod, 28 Jun lalu, Zaim dan Ismanira, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan.

Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 29 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini