comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kes tikam pesakit di Hospital Selayang: Khairul dakwa dengar bisikan

 

SELAYANG: Lelaki yang bertindak menikam seorang pesakit di Hospital Selayang dalam kejadian dua minggu lalu, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini.

Mohd Khairul Kamul, 22, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuan.

Ketika ditanya jurubahasa sama ada dia faham pertuduhan atau tidak, lelaki itu yang tidak diwakili peguam, mendakwa berhalusinasi ketika kejadian dan terdengar bisikan.

Foto hiasan

“Saya tidak sedar, di bawah halusinasi serta terdengar bisikan,” katanya turut merayu supaya dia dirawat di rumah kakaknya di Batu Caves.

Mohd Khairul didakwa sengaja mendatangkan cedera parah terhadap V Sathish Rao, 29, dengan menggunakan pisau di zon kuning bahagian kecemasan Hospital Selayang, jam 3.45 petang, 14 Februari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Mengikut laporan media pada 15 Februari, seorang lelaki yang menghidap demam denggi datang ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan apabila ditikam seorang pesakit mental menyebabkan mangsa cedera abdomen kiri dan kanan serta bahagian belakang badan, namun kini dilaporkan stabil.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon tertuduh diperintah menjalani pemeriksaan psikiatri selepas mengambil kira keadaan mentalnya yang tidak stabil.

“Pihak pendakwaan membuat permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. Sebelum ini, tertuduh menerima rawatan di Jabatan Psikiatri Hospital Selayang,” katanya.

Nor Rajiah kemudian memerintahkan Mohd Khairul menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia, Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

Mahkamah juga tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 Mac ini untuk sebutan semula kes serta serahan laporan psiakitri.

Kementerian Kesihatan (KKM) pada 15 Februari, menafikan kejadian itu berpunca daripada kesesakan di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang, sebaliknya menjelaskan pesakit mental boleh bertindak di luar jangka di mana-mana tempat sekalipun. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini