Tumpuan :
Mahkamah

Kes tetak, tukang besi direman 7 hari

Seorang tukang besi yang ditahan polis semalam, selepas disyaki terbabit dalam insiden tetak di pusat bandar, ditahan reman tujuh hari. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang tukang besi yang ditahan polis semalam, selepas disyaki terbabit dalam insiden tetak di pusat bandar di sini, ditahan reman tujuh hari.

Tempoh reman terhadap suspek lelaki berusia 45 tahun sehingga Selasa depan itu dibenarkan bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, mangsa dan suspek ketika kejadian tetak itu dalam keadaan mabuk.

Beliau berkata, kedua-dua mereka saling tidak mengenali dan sedang lepak meminum minuman keras di kawasan lokasi kejadian sebelum dilaporkan bergaduh mulut hingga membawa kepada kejadian tetak itu.

Kejadian yang berlaku berhampiran Merlin Tower, Jalan Meldrum di sini, mendapati mangsa adalah penganggur lelaki warga tempatan berusia 43 tahun dan akibat kejadian itu, mangsa parah di bahagian kepala dipercayai ditetak dengan senjata tajam dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, sebelum ditahan wad untuk rawatan lanjut.

Suspek pula ditahan di lokasi kejadian dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging yang disyaki digunakannya dalam kejadian itu.

Hasil semakan rekod jenayah, Raub dilaporkan berkata, suspek mempunyai lapan rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah, manakala mangsa juga mempunyai empat rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati dia positif methaphetamine.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini