Tumpuan :
Mahkamah

Kes tembak di KLIA: Sebutan semula kes Hawari 11 Ogos

Hafizul Hawari didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api di bawa ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bagi menetapkan 11 Ogos sebagai tarikh sebutan semula. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: 11 Ogos ditetapkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pengurus syarikat agensi pelancongan yang didakwa atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

Hakim, Zulkifli Abllah memaklumkan tarikh berkenaan adalah untuk pengurusan kes dan status permohonan Hafizul Hawari, 38, untuk dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Sepang.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad.

Peguam mewakili Hafizul, Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman berkata, prosiding hari ini juga adalah sebutan semula kes namun pihaknya belum mendapat keputusan berhubung permohonan yang dibuat.

“Sebelum ini kita memohon kepada pihak pendakwa raya untuk memindahkan semua tujuh kes Hafizul ke Mahkamah Sepang memandangkan anak guam kami juga mempunyai kes di sana.

“Mahkamah tetapkan 11 Ogos sebagai tarikh sebutan semula bagi mengetahui status permohonan berkenaan.

“Hafizul kini ditempatkan di Penjara Sungai Buloh,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, 15 April lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Hafizul Hawari, 38, mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata api pistol tertulis Glock 19 Austria, Made in Turkey, menyalahi Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 AUTO tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama.

Ia memperuntukkan maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan mengikut 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memandu Honda Civic warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Semua pertuduhan itu dilakukan di dalam Honda Civic di perkarangan KPJ Perdana Specialist Hospital di sini, jam 2 petang, 15 April lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini