Tumpuan :
Mahkamah

Kes simbah asid: Wanita warga emas menangis teresak-esak di mahkamah 

Oleh : Ain Shafiqah Zaki

SELAYANG: Wanita warga emas yang disyaki menyimbah asid kepada pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini atas dua tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Tertuduh, Saira Abdullah berusia lingkungan 60-an tiba kira-kira jam 9:15 pagi tadi dan dilihat menangis teresak-esak semasa diiringi anggota bagi pendakwaan.

Semalam, Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Arifin Mohamad Nasir, berkata suspek akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Warga emas terbabit menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali.

Pada 9 Julai lalu, wanita terbabit ditahan dalam serbuan di sebuah taman perumahan sekitar Rawang.

Terdahulu media melaporkan suspek mendatangi mangsa sebelum bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari arah luar lif sebuah pangsapuri sebelum melarikan diri.

Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian bahu, pipi dan mata serta belakang bahu akibat insiden itu.

Kejadian dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di pangsapuri terbabit.

Loading...
Terkini