comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes seludup warga Myanmar: Pemandu teksi tidak dibenar diikat jamin

Mohd Aseri Musa, 60, didakwa menyeludup lima warga Myanmar. – Foto: NSTP

ALOR SETAR: Seorang pemandu teksi warga emas berdepan pertuduhan menyeludup lima warga Myanmar di Changlun, bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Aseri Musa, 60, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mengangkut pendatang Myanmar berusia antara lima hingga 37 tahun dengan menaiki kereta berhampiran Taman Hosba di Changlun, Kubang Pasu kira-kira jam 5 petang pada 29 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syaliati Mohd Sobri, manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Samsul Nizam Solimi.

Hakim tidak membenarkan tertuduh dijamin berikutan kes berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sebutan semula kes ditetapkan 8 November depan sementara menunggu kenyataan lima pendatang terbabit.

Tertuduh kemudian dihantar ke Penjara Alor Setar.

Dalam kejadian itu, polis menahan seorang pemandu teksi warga tempatan yang menjadi ‘transporter’ untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ke negara ini.

Lelaki itu dikatakan dibayar RM50 untuk setiap warga asing yang dibawa dan dihantar ke sebuah rumah transit di Kampung Cherok Mokkan, Changlun.

Dia ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan Balai ICQS Bukit Kayu Hitam pada jam 5 petang, 29 September lalu.

Loading...
Terkini