PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 22 Mac hadapan untuk pengurusan kes rayuan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.
Mahkamah Sesyen pada 2 September lalu, memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, ketika dihubungi, mengesahkan tarikh pengurusan kes itu yang ditetapkan sementara menunggu rekod rayuan.
Pengurusan kes tadi berlangsung di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.
Pada 9 Disember tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menolak permohonan pasangan itu untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen itu.
Mahkamah menolak permohonan itu selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan atas alasan Bung Moktar dan Zizie Izette menggunakan kaedah yang salah untuk memfailkan permohonan semakan itu.
Pihak pendakwaan berhujah bahawa kedua-dua mereka tidak sepatutnya memfailkan melalui notis usul sebaliknya dibuat melalui surat kepada Mahkamah Tinggi.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima rasuah daripada seorang ejen pelaburan Public Mutual menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada seorang perunding Unit Amanah, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.