comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes polis langgar pelajar: Pendengaran permohonan jaminan ditetap 5 September

IPOH: 5 September depan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk pendengaran permohonan jaminan bagi kes pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, yang didakwa membunuh pelajar tingkatan lima berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, pada Disember tahun lalu.

Penetapan tarikh itu dibuat Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.

Ini selepas beliau membenarkan permohonan pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz bagi membalas hujahan yang difailkan pembelaan bagi tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 45.

Bhupindar membenarkan tempoh masa dua minggu dari tarikh hari ini untuk hujahan balas difailkan kedua-dua pihak Afzainizam serta pembelaan yang diketuai Jacky Loi Yap Loong pada semalam, sebelum tarikh pendengaran permohonan itu ditetapkan pada 5 September.

“Saya benarkan pihak pendakwaan untuk membalas hujahan yang difailkan dan saya beri masa dua minggu untuk memfailkan hujahan balasan sebelum menetapkan tarikh pendengaran permohonan,” kata Bhupindar.

Mahkamah turut diberitahu bahawa kedua-dua pihak sudah memfailkan penghujahan bertulis masing-masing semalam seperti diarahkan mahkamah sebelum ini.

Afzainizam menyatakan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti hujahan daripada pihak pembelaan dan memohon satu tarikh baharu ditetapkan bagi pendengaran permohonan itu.

Prosiding hari ini dihadiri tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Afzainizam, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Low Qin Hui, manakala pihak pembelaan diwakili Jacky Loi, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M Kuhan.

Turut hadir peguam pemerhati yang dilantik oleh keluarga mangsa, Amira Najwafitri Amir Arif.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Jacky Loi memberitahu, pihaknya memohon kepada mahkamah agar satu tarikh awal ditetapkan bagi pendengaran terbabit sebagai keadilan kepada tertuduh.

“Kita minta kalau boleh diawalkan kerana ini adalah satu permohonan jaminan, tambahan pula tarikh perbicaraan pun sudah ditetapkan bermula November depan. Sekiranya isu jaminan ini tidak diputuskan secepatnya, tidak adil dari segi hak asasi kepada tertuduh,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini