Tumpuan :
Mahkamah

Kes pelabur mata wang bunuh Cikgu Istiqomah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

Tertuduh, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 37, didakwa membunuh Istiqomah di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang dekat sini di antara 26 dan 31 Disember 2023.

ALOR GAJAH: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan kes pelabur mata wang yang didakwa membunuh guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Majistret, Dr Teoh Shu Yee, memutuskan demikian selepas pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri, memaklumkan pihaknya sudah menerima arahan lanjut dan izin daripada Pejabat Pendakwaan Negeri Melaka.

Pada prosiding 23 Disember tahun lalu, mahkamah diberitahu laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat mangsa sudah diperoleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 37, didakwa membunuh Istiqomah di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang dekat sini di antara 26 dan 31 Disember 2023.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan.

Media sebelum ini melaporkan, Istiqomah dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023 selepas keluar bekerja, namun keretanya ditemui di sekitar Kota Masai, Johor kira-kira 2 petang hari sama.

Pada 31 Disember 2023, mayat seorang wanita ditemui dibuang dalam tong sampah dalam keadaan tanpa kepala dan tangan di Kampung Tanjung Rimau Luar.

Hasil ujian DNA yang dijalankan oleh Bahagian Databank DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ke atas ibu Istiqomah pada 2 Ogos 2024 mendapati ia sepadan dengan mayat ditemui.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini