Tumpuan :
Negeri

Kes Masalah Rumah Tangga Di Melaka Meningkat Tahun Ini

| Oleh Baharuddin Mohamed

AYER KEROH: Sebanyak 4,134 kes rumah tangga didaftarkan di Mahkamah Syariah Melaka, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah negeri, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu dengan hanya 3,367 kes yang didaftarkan bagi tempoh 12 bulan.

Beliau berkata, kes-kes yang didaftarkan membabitkan kes jenayah, faraid dan rayuan.

“Sehingga September lalu, sebanyak 1,212 kes penceraian diselesaikan merangkumi seperti fasakh, pengesahan lafaz cerai, cerai secara lafaz, tebus talak dan takliq.

“Daripada statistik ini menunjukkan banyak kes yang didaftar dan memerlukan bantuan serta kecekapan peguam syarie bagi membantu Mahkamah Syariah mempercepatkan perjalanan sesuatu kes,” katanya.

Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Melaka, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.

Beliau berucap pada Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Melaka 2022, yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, segala kekusutan dalam institusi rumah tangga sama ada dalam bidang kuasa Mal (tuntutan dibuat berkaitan hal kekeluargaan dan harta benda terhadap satu pihak lain) atau jenayah, perlu mendapat bantuan dan khidmat nasihat yang betul dari seorang peguam.

“Mahkamah memerlukan peguam yang membantu mahkamah, menjelaskan undang-undang substantif dan prosedur untuk menghindari berlaku salah faham di antara masyarakat serta mahkamah.

“Selain itu, peguam syarie hendaklah istiqamah dalam menegakkan keadilan dan berusaha menghindarkan kezaliman bukan hanya kemenangan sesuatu kes semata-mata,” katanya.

Loading...
Terkini