comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kes lelaki Israel miliki senjata api: Pasangan suami isteri didakwa di mahkamah hari ini

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun yang ditangkap di Kuala Selangor dalam Ops Shalom berkait seorang warga Israel, dijadual didakwa di mahkamah Klang, hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang turut memaklumkan bahawa lelaki Israel itu pula dijangka dituduh pada minggu depan selepas sambutan Aidilfitri.

Foto hiasan

Setakat ini, beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan dan mengumpul beberapa maklumat berhubung motif sebenar pemilikan senjata api oleh warga Israel itu.

“Senjata api itu seperti diketahui diseludup dari negara jiran.

“Lelaki warga Israel, 38, itu pula akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat… mungkin selepas raya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Pulapol, di sini, hari ini.

Pada 27 Mac lalu, Shalom – warga Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis – ditahan di sebuah hotel mewah di Jalan Ampang, di sini, selepas dikesan memiliki enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger berserta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Hasil siasatan awal oleh pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati Shalom yang memasuki negara ini pada 12 Mac lalu melalui penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggunakan pasport kewarganegaraan Perancis, didakwa merancang untuk membunuh ketua kepada satu keluarga kumpulan penjenayah yang berseteru dengan keluarganya.

Susulan soal siasat ke atas Shalom, polis kemudian memberkas pasangan suami isteri terbabit di sebuah bazar Ramadan di Kuala Selangor pada 29 Mac lalu, yang disyaki menjual enam senjata api kepada Shalom, selain membawa kepada penemuan sepucuk lagi pistol di dalam beg sandang di dalam kereta milik pasangan terbabit.

Pasukan khas polis dari JSJ Bukit Aman, Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kemudian menahan 12 lagi individu melalui beberapa siri serbuan di Johor, Kelantan serta Lembah Klang.

Kesemua mereka disiasat kerana disyaki terbabit pengedaran senjata api yang dirampas itu, aktiviti pembayaran wang kripto untuk urusan pembelian senjata, dan kesalahan-kesalahan berkaitan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini