comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kes larikan 2 kanak-kanak: Peniaga dipenjara 2 tahun, denda RM2,000

Oleh: Fareez Azman

SUNGAI BESAR: Seorang peniaga pisang goreng mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan menculik dua kanak-kanak perempuan di Taman Ikan Emas, Jeram, Kuala Selangor, 19 Julai lalu.

Tertuduh, Mohamad Shahriza Othman, 32 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Foto: NSTP

Mengikut kedua-dua pertuduhan dibawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan, dia didakwa menculik dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 6 dan 8 tahun dari penjaga yang sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Ikan Emas, Jeram, Kuala Selangor, kira-kira jam 6.30 petang, 19 Julai lalu.

Majistret Siti Hajar dalam penghakimannya menjatuhi hukuman penjara 12 dan 24 bulan yang dijalankan serentak serta denda RM1,000 bagi setiap kesalahan terhadap tertuduh, selain penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

“Tindakan (tertuduh) mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jelas menzahirkan kekesalan keinsafan amat sangat ke atas insiden yang berlaku.

“Namun begitu hukuman dijatuhkan mahkamah harus bersifat deterence (pencegahan) dan faktor kepentingan awam hendaklah diutamakan mahkamah agar memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam bahawa kesalahan menculik yang amat berleluasa adalah satu kesalahan serius pada pandangan mahkamah ini,” jelasnya ketika membacakan alasan penghakiman.

Dalam prosiding hari ini, peguam mewakili tertuduh, Muhd Muqri Mohd Khairi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon mahkamah mengurangkan hukuman terhadap anak guamnya yang bekerja sebagai peniaga dan mempunyai dua anak.

“Mohon mahkamah mengambil kira, OKT telah menghantar kedua-dua mangsa kepada penjaga.

“Kami dimaklumkan tujuan OKT berbuat demikian kerana OKT,  menginginkan anak perempuan.

“Setakat ini belum rezeki dapat anak perempuan, anak OKT dua-dua anak lelaki,” jelasnya dihadapan Majistret.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal pula memohon agar satu hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana melibatkan kepentingan awam.

Mohamad Shahriza sebelum ini ditahan polis kira-kira jam 2.40 pagi di rumahnya di Jeram pada 21 Julai lalu sebelum direman lima hari.

19 Julai lalu, dua kanak-kanak perempuan berusia 6 dan 8 tahun yang dilaporkan hilang sebelum itu, ditemui dalam keadaan selamat di Taman Kelisa, berhampiran rumah mangsa pada jam 7.45 malam, kira-kira sejam selepas dilaporkan hilang.

Kedua-dua mangsa dipercayai dilarikan seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta Perodua Bezza.

Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa pada jam 6.30 petang hari sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini