TENOM: Saksi ketujuh perbicaraan kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew hari ini memberitahu mahkamah sebuah lagi telefon bimbit iaitu jenis OnePlus yang dianalisis mempunyai video memaparkan perbualan dalam kumpulan Whatsapp yang mengandungi gambar berunsur seksual atau lucah.
Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video PDRM, Asisten Superitendan Latifah Abdul Aziz, 43 tahun berkata video perbualan dalam aplikasi Whatsapp itu dikeluarkan daripada telefon bimbit jenis OnePlus yang bertanda S1 pada 22 Oktober 2021.
“Selepas selesai proses analisis, saya dapati ada video berkait permohonan pegawai penyiasat dan video tersebut saya salin dalam cakera padat (CD) untuk dibekalkan kepada pegawai penyiasat,” katanya di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Menurut Latifah, hasil analisis dijalankan beliau menemukan satu video yang memaparkan perbualan dalam aplikasi kumpulan Whatsapp yang mengandungi gambar berunsur seksual yang berkait dengan permohonan pegawai penyiasat.
Walau bagaimanapun, saksi tidak sempat menerangkan kandungan video yang diperoleh daripada telefon bimbit jenis OnePlus tersebut hari ini kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan untuk terus memberi keterangan.
Sebelum itu, ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria mengenai dua keping gambar yang sama dalam telefon bimbit bertanda NA-1, Latifah berkata daripada metadata yang dikeluarkan, kedua-dua gambar berada dalam dua folder berlainan
Katanya, daripada metadata yang dikeluarkan, kedua-dua gambar ada dalam folder Whatsapp Images dan folder sent dan ia menunjukkan kedua-dua gambar telah dihantar atau dikongsi oleh pengguna telefon bimbit tersebut. Jelas beliau, pengguna telefon telah berkongsi gambar yang sama sebanyak dua kali berdasarkan saiz gambar yang berbeza. Dalam perbicaraan sebelum ini, mahkamah merekodkan telefon bimbit jenis Samsung Galaxy A31 yang bertanda NA-1 adalah telefon yang dirampas daripada pengadu dalam kes berkenaan.
Mengambil maklum keadaan saksi yang kurang sihat, Majistret Nur Asyraf Zolhani kemudian menangguhkan perbicaraan hari ini dan akan disambung seperti dipersetujui sebelum ini iaitu pada 16 hingga 18 Ogos dan 26 hingga 29 September.
Ebit Lew 37 tahun yang kini berada di Makkah untuk menunaikan haji berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.