comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Kes dadah Yasin: 2 ketulan mampat, 17 pokok disahkan kanabis – Saksi

Foto fail NSTP

PETALING JAYA: Saksi pertama pendakwaan dalam perbicaraan kes dadah membabitkan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, beliau menerima 19 beg plastik daripada polis yang mengandungi dua ketulan mampat dan 17 pokok dalam pasu yang kemudian disahkan kanabis, Mac tahun lalu.

Ahli kimia, Dr J Saravanan Kumar, 48, yang bertugas di Bahagian Narkotik Jabatan Kimia Malaysia ketika membaca pernyataan saksi berkata, hasil analisis mendapati kesemua ketulan mampat dan bahan tumbuhan yang diambil daripada pasu itu disahkan adalah kanabis.

“Pada 28 Mac 2022 jam 4.18 petang, saya menerima 19 beg plastik bermeteri Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz.

“Kemudian, saya memeriksa kesemua beg plastik yang mana dua daripada beg plastik berisi ketulan mampat, saya menerima 17 pasu bertanda yang juga selepas dianalisis adalah kanabis,” katanya.

Menurut saksi itu, selepas menerima kesemua barangan itu, beliau memulakan analisis dengan mencabut pokok dari pasu-pasu yang berisi tanah, selain berat pokok yang dicabut itu ditimbang menggunakan penimbang elektronik yang dikalibrasi dan ketinggian pokok diukur menggunakan pembaris.

“Saya kemudian menjalankan satu skema analisis yang terdiri daripada empat kaedah ujian ke atas pokok-pokok itu, iaitu pemeriksaan fizikal secara visual serta menjalankan pemeriksaan ke atas keseluruhan pokok 100 peratus, dan mendapati pokok adalah daripada satu jenis tumbuhan yang sama (kanabis) dan tiada bahan asing,” katanya.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, berhubung pengetahuan beliau mengenai penanaman dan penjagaan pokok kanabis, saksi itu memaklumkan melalui bahan pembacaannya, penanaman kanabis memerlukan biji benih, pencahayaan dan suhu yang sesuai.

“Selain biji benih, proses penanaman kanabis ini juga memerlukan pencahayaan yang sesuai untuk membolehkan tumbuhan ini bercambah yang mana ia boleh dilakukan melalui penanaman secara ‘indoor lighting source’ seperti penggunaan cahaya ultraviolet,” katanya.

Selesai disoal pihak pendakwaan ketika pemeriksaan utama, saksi itu tidak disoal balas oleh peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin.

“Kami tiada soalan untuk saksi ini,” katanya.

Yasin yang memakai baju kemeja-T hitam dan berseluar putih, dilihat tenang ketika berada di kandang tertuduh.

Perbicaraan hari pertama itu turut dihadiri ibu dan adik-beradiknya.

Mengikut pertuduhan pertama, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, didakwa ada dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, di sini, jam 5.30 petang 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua pula, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 6B(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali.

Bagi pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ‘11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Loading...
Terkini