IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang mendengar perbicaraan kes bunuh pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, dua tahun lalu, diberitahu bahawa pegawai polis boleh menggunakan kenderaan peribadi untuk menguatkuasakan undang-undang.
Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan S Dasarathan, 46, dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang juga saksi pendakwaan ke-33.
Terdahulu, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bela, Datuk Mior Faridalathrash Wahid bahawa tiada apa-apa arahan, peruntukan, Perintah Tetap Ketua Polis Negara atau arahan semasa yang menghalang pegawai polis daripada menggunakan kenderaan peribadi ketika menguatkuasakan undang-undang.
Mior: Setuju tak dengan saya, tugas dan tanggungjawab seorang pegawai polis sebagai penguat kuasa undang-undang selesai apabila dia menyempurnakan tugas dengan dia mengambil tindakan undang-undang sehingga pesalah trafik atau jenayah diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang?
Dasarathan: Setuju.
Mior: Setuju tak dengan saya ada peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 225A Kanun Keseksaan yang mengatakan bahawa seorang penjawat awam yang meninggalkan daripada menangkap atau membiarkan (pesalah) adalah satu kesalahan, jika dia gagal mengambil tindakan?
Dasarathan: Setuju.
Saksi itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas pada hari ke-23 prosiding perbicaraan kes pegawai kanan polis, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi.
Dasarathan berkata, hasil pemeriksaan di PUSPAKOM mendapati ekzos motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang Zaharif menghasilkan bunyi amat kuat.
Menurutnya, perkara itu disahkan lagi dengan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menyatakan ekzos terbabit menghasilkan paras bunyi melebihi 100 decibel dan menyalahi peraturan.
Pegawai penyiasat itu juga bersetuju dengan Mior bahawa selepas kemalangan berlaku, tertuduh ada membantu mengangkat mangsa ke tepi jalan dan menawarkan diri untuk membawa mangsa ke hospital, namun dihalang kakak Zaharif.
Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri, 46, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.
Pegawai kanan polis itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pasukan pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, M Athimulan, Mior Faridalathrash dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet bersambung sebelah petang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.