Tumpuan :
Mahkamah

Kes bunuh Zaharif: Pegawai penyiasat mengaku padam 2 video perlanggaran

Pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, dibawa ke Mahkamah Tinggi hari ini bagi menghadiri perbicaraan hari ke-16 kes bunuh yang dihadapinya. – FOTO: NSTP

IPOH: Pegawai penyiasat trafik yang membuka kertas siasatan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia sudah memadam dua rakaman video memaparkan mangsa dilanggar.

Inspektor Jong Pit Chao, 37, yang juga saksi pendakwaan ke-29 berkata, video itu diterima melalui aplikasi WhatsApp pada 17 Disember tahun lalu iaitu dua hari selepas kejadian perlanggaran antara Perodua Ativa putih dipandu tertuduh dengan motosikal Yamaha 135LC hitam ditunggang Zaharif.

Menurutnya, dua rakaman kamera papan pemuka (dashcam) itu dihantar oleh seorang wanita pemilik Mitsubishi Triton yang meletak kenderaannya di bahu jalan berhampiran lokasi perlanggaran itu terjadi.

Saksi itu berkata, dia memadam video terbabit atas alasan siasatan kes diserahkan kepada pegawai penyiasat baharu, Asisten Superintendan Chua Sze Chuan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Semasa saya menerima panggilan daripada wanita itu, saya telah terima arahan kes diserahkan kepada Chua.

“Jadi, saya maklumkan kepada wanita itu bahawa saya bukan lagi pegawai penyiasat bagi kes ini, sila hubungi Chua,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada hari ke-16 prosiding perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi.

Terdahulu, Mior Faridalathrash bertanya sama ada pegawai penyiasat trafik itu boleh menunjukkan rakaman video itu kepada mahkamah, namun Jong berkata rakaman itu tiada lagi dalam simpanannya.

Mior: Wanita itu serahkan melalui aplikasi WhatsApps, soalan saya ada tak dalam simpanan puan lagi?

Jong: Tidak ada

Mior: Soalan saya adakah puan telah delete (padam) rakaman yang puan terima daripada wanita itu?

Jong: Saya jelaskan (Saksi tidak dapat habiskan jawapan)

Mior: Jadi saya katakan kepada puan sebenarnya puan tidak terima pun daripada wanita itu, jika tidak puan tidak akan padam video

Jong: Saya terima

Mior: Kenapa tidak simpan?

Jong: Saya tidak boleh sebarkan bukti

Mior: Puan tahu ini bukti di mahkamah?

Jong: Tahu, saya bukan pegawai penyiasat dan saya majukan kepada Chua yang uruskan siasatan ketika itu

Sementara itu, ketika pemeriksaan utama, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz bertanya mengapa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sambil mengambil kira disiasat kemungkinan wujud elemen di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menjawab soalan itu, Jong menyifatkan kes perlanggaran membabitkan Muhammad Zaharif ini sebagai satu kejadian luar biasa.

“Luar biasa yang saya maksudkan daripada pengalaman saya sebagai pegawai penyiasat trafik di mana kenderaan-kenderaan yang terlibat dalam kejadian ini termasuk kereta dan motosikal tiada di lokasi kejadian.

“Berdasarkan keterangan lisan saksi awam di lokasi, motosikal mangsa telah dikejar oleh sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan dilanggar dari belakang.

“Maksudnya, ini merupakan satu kejadian luar biasa di mana wujudnya kejadian mengejar antara kereta Perodua Ativa dan motosikal yang ditunggang mangsa,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.

Pegawai kanan polis itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan turut dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, M Athimulan, Mior Faridalathrash dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Perbicaraan bersambung sebelah petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini