Tumpuan :
Mahkamah

Kes bunuh Zaharif: Kad memori ‘dashcam’ pernah diakses sehari sebelum ditemui polis

Pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi menghadiri perbicaraan hari ke-21 kes bunuh yang dihadapinya. FOTO: NSTP

IPOH: Mahkamah Tinggi hari ini dimaklumkan kad memori kamera papan pemuka (dashcam) Perodua Ativa milik pegawai polis, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak pernah diakses, sehari sebelum ditemui polis, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, semakan mendapati, tiada sebarang rakaman menunjukkan kejadian perlanggaran antara tertuduh, Mohd Nazri dengan motosikal ditunggang pelajar sekolah, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie direkodkan dalam kad memori dashcam itu.

Perkara itu dimaklumkan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden S Dasarathan, 46, dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang juga saksi pendakwaan ke-33.

Terdahulu, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau mengambil alih kertas siasatan kes daripada Asisten Superintendan Chua Sze Chuan pada 5 petang, 18 Disember 2023.

Dasarathan berkata, polis merampas dashcam dan kad memori itu selepas pegawai penyiasat trafik, Inspektor Jong Pit Chao menemui peralatan terbabit di dalam laci dashboard Perodua Ativa pada 20 Disember 2023 iaitu hari kelima selepas kejadian perlanggaran.

“Saya telah membuat pemeriksaan awal terhadap dashcam serta kad memori dan mendapati tiada rakaman dibuat ataupun wujud pada 15 Disember 2023 (hari kejadian perlanggaran berlaku).

“Walau bagaimanapun, pemeriksaan awal saya tidak konklusif yang mana memerlukan analisa lanjut forensik,” katanya di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.

Dasarathan memberi keterangan itu ketika membacakan pernyataan saksi pada hari ke-21 prosiding perbicaraan kes pembunuhan Muhammad Zaharif Affendi.

Saksi itu memberitahu, berdasarkan laporan forensik makmal dijalankan polis mendapati, kad memori terbabit pernah diakses pada 19 Disember 2023 iaitu sehari sebelum bahan kes itu ditemui.

“Polis berjaya mengeluarkan 130 fail video bermula tarikh 4 November 2022 sehingga 19 Disember 2022 sahaja. Rakaman adalah setakat 19 Disember 2022.

“Dari (tarikh) 20 Disember 2022 sehingga 15 Disember 2023, tiada rakaman direkodkan (dalam kad memori dashcam).

“Tiada sebarang rakaman berkenaan kejadian (perlanggaran antara Perodua Ativa dengan motosikal ditunggang Zaharif).

“Ini disahkan dengan keterangan yang menunjukkan dashcam Perodua Ativa dialihkan daripada pemasangan semasa pemasangan tint pada kereta itu sebelum ini,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri, 46, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.

Pegawai kanan polis itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid. dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Peguam Syaheera Rosli yang mewakili keluarga mangsa turut hadir mengikuti prosiding, hari ini.

Perbicaraan bersambung pada Selasa ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini