IPOH: Bapa kepada Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, anak lelakinya mengadu sakit dan matanya tidak boleh melihat selepas dilanggar Perodua Ativa, Disember tahun lalu.
Muhd Zamrie Zainal Abidin, 56, berkata ketika tiba di tempat kejadian, dia melihat Zaharif terbaring di tepi persimpangan Jalan Taman Jati 1 dalam keadaan meronta-ronta kesakitan dan dikerumuni orang ramai.
Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata, pada masa sama, anak perempuannya, Nur Zawanie, 29, yang juga jururawat di lokasi kejadian mengarahkan orang ramai memberi ruang dan tidak menyentuh Zaharif.
Menurut pesara tentera itu, dia melihat Zaharif mengalami kecederaan di bahagian siku yang berlubang, muka lebam dan paha ada kesan seretan.
“Ketika di tempat kejadian, saya di sisi kanan Zaharif manakala Nur Zawanie berada di sisi kiri Zaharif. Saya menghampiri Zaharif dan menyatakan, ‘Ni abah ni…’ sambil melihatnya meronta-ronta kesakitan.
“Kemudiannya, saya mendengar Zaharif bercakap ‘Abah sakit! Abah sakit! Mata tak nampak’,” katanya di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet pada hari ke-11 prosiding perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis dituduh membunuh Muhammad Zaharif Affendi.
Saksi itu berkata, Zaharif terus meronta-ronta sambil bangun duduk dan baring berulang kali walaupun Nur Zawanie memberitahu Zaharif supaya tidak berbuat kemudian.
“Selang beberapa minit kemudian, Zaharif tiba-tiba senyap dan matanya mula berkelip-kelip.
“Nur Zawanie meminta Zaharif supaya tidak tidur dan menunggu sekejap sementara ambulans datang.
“Saya nampak Nur Zawanie bertindak memeriksa nadinya dan ketika itu, saya dan seorang ustaz sekolah yang berada di tempat kejadian meminta Zaharif untuk mengucap dua khalimah syahadah,” katanya.
Bapa kepada empat anak itu berkata, dia kemudiannya melihat Zaharif mula merehatkan badan dan kaki Zaharif diluruskan sendiri, sambil matanya memandang ke atas sebelum tertutup.
Melihat perlakuan Zaharif, menurutnya, dia bangun dan melapangkan jalan untuk memberi laluan kepada ambulans, bagaimanapun pesara itu pengsan dan tumbang di tempat kejadian.
Sebaik tersedar daripada pengsan beberapa minit kemudian, menurut Muhd Zamrie, anak perempuannya memberitahu bahawa Zaharif sudah meninggal dunia.
Isteri suspek ada di tempat kejadian meminta maaf
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela A Athimulan, Muhd Zamrie menegaskan ketika kejadian, ada guru wanita yang mengaku isteri kepada pemandu Ativa putih, memohon maaf atas sikap baran suaminya.
Mengikut pertuduhan, Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari 15 Disember tahun lalu.
Pegawai kanan polis itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Prosiding perbicaraan bersambung sebelah petang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.