JITRA: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menangguhkan perbicaraan kes bunuh pesara kewangan FELCRA Sabari Baharom, ke 16 Februari depan.
Majistret Nurul Huda Idris membuat keputusan itu selepas mendapat permohonan Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, sementara menunggu laporan penuh forensik dan kimia.
Pihak pendakwaan turut memohon agar kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Alor Setar mengikut bidang kuasa ditetapkan.
Keputusan mengenai pemindahan kes itu dijangka diumumkan pada tarikh sebutan semula akan datang.
Mengikut pertuduhan pada 17 Oktober tahun lalu, tertuduh yang juga kontraktor, Mazuan Hanafi, 38 dan anak saudaranya, pekerja kilang Muhd Asyraf Idris, 26, didakwa atas tuduhan membunuh Sabari, 62.
Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika hukuman mati tidak dikenakan.
Tiada pengakuan direkodkan setakat ini dengan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Shafiqah Zainuddin.
Sebelum ini, kedua-dua tertuduh ditahan pada 27 September tahun lalu, selepas kereta Proton Waja milik Sabari yang hangus terbakar ditemui di Kampung Pulau Belantek, kira-kira 60 kilometer dari rumahnya.
Sabari yang tinggal bersendirian di Kampung Mengkuang Tengah, Kupang, dilaporkan hilang pada 4 September tahun lalu dan siasatan mendapati dia diculik dan dibunuh.
Suspek ditahan polis mengaku mengikat tangan Sabari, menutup mulutnya dengan pita pelekat dan membuangnya ke dalam Sungai Padang Terap.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.