Oleh: Selwam Arjunan
JITRA: Seorang kontraktor dan anak saudaranya didakwa di Mahkamah Majistret Kubang Pasu di sini, atas pertuduhan membunuh pesara FELCRA, Sabari Baharom, 62, pada 4 September lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Mazuan Hanafi, 38, dan Muhd Asyraf Idris, 26, dibacakan di hadapan Majistret Nurul Huda Idris.
Pengakuan kes bunuh merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama-sama dengan niat telah melakukan kesalahan membunuh Sabari.
Kesalahan dilakukan di titi Kampung Empa di Sungai Padang Terap di daerah Kubang Pasu pada jam 5.30 pagi, 4 September lalu.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Januari 2025.
Untuk rekod, jasad Sabari tidak ditemui selepas operasi pencarian besar-besaran selama tiga hari dari 30 September hingga 2 Oktober lepas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.