![](https://media.buletintv3.my/2025/02/zs1zZ7bY-BULETIN-TV3-AD-3.jpg)
KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menetapkan 17 Mac depan untuk sebutan semula kes pemandu e-hailing yang dituduh membunuh seorang wanita, Disember tahun lalu.
Majistret Sharifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Hung Hwei memaklumkan pihaknya menunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat berhubung pembunuhan kejam itu.
Zakwan Mokhtar, 23, dituduh membunuh Nurul Asikin Lan, 28, yang mayatnya ditemui reput di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan, di sini, pada 15 Disember tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman mati atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.
Tertuduh kini menjalani hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah pada 24 Disember lalu atas pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu berhubung kehilangan Nurul Asikin.
Sementara itu, kira-kira 20 ahli keluarga serta rakan-rakan Allahyarhamah Nurul Asikin turut berada di mahkamah bagi mengikuti prosiding, hari ini.
Kes pembunuhan Nurul Asikin itu menarik perhatian ramai selepas media melaporkan sebelum ini tertuduh ketika disoal siasat polis mengaku melakukan pembunuhan itu kerana mahu mengambil barang kemas mangsa untuk digadai.
Ia bagi menampung perbelanjaannya menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Phnom Penh, 8 Disember lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.