Oleh: Selwam Arjunan
ALOR SETAR: Seorang lelaki warga asing ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan kes bunuh isteri dan anak perempuannya yang ditemukan maut dalam longkang bangunan kosong di Pekan Simpang Kuala, di sini, petang semalam.
Majistret Mahkamah Alor Setar, Siti Nor Hasliza Md Ali membenarkan permohonan perintah reman tujuh hari bermula hari ini hingga 26 Ogos.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.
Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap polis dibawa ke mahkamah kira-kira jam 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati berkata, suspek ditahan di Masjid Bukit Pinang, jam 9 malam tadi.
Semalam, media melaporkan mayat dua perempuan yang lengkap berpakaian ditemukan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain.
Mayat ditemukan di dalam longkang kecil di belakang bangunan terbiar, dengan kesan kelar pada leher kedua-dua mayat.
Mangsa wanita berusia 34 tahun, dan anak perempuannya, 10, kedua-duanya dipercayai warganegara asing.
Motif pembunuhan masih dalam siasatan polis.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.