Tumpuan :
Mahkamah

Kes Bella: Siti Bainun tarik balik rayuan tangguh hukuman penjara 12 tahun

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali

KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menarik balik rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun, atas dua sabitan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down, Bella, tiga tahun lalu.

Peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah yang mewakili Siti Bainun, 32, selaku pemohon memberitahu mahkamah pihaknya menerima arahan daripada anak guam untuk menarik permohonan pelaksanaan dan hukuman yang difailkan di mahkamah sama pada 6 Jun lalu.

“Kami mendapat arahan daripada anak guam untuk menarik balik permohonan dan akan memfokuskan kes di Mahkamah Rayuan, kelak,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid, sebelum membenarkan permohonan Siti Bainun yang dikecualikan kehadiran hari ini.

Pada 23 Mei tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun itu, selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk membenarkan penggantungan itu.

Pada 2 Mei lalu, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin pula, wanita yang aktif dengan kerja kebajikan itu kekal atas sabitan dan hukuman penjara, yang diputuskan Mahkamah Sesyen di sini, sebelum itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini, pada Februari hingga Jun 2021.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini