KUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, tiba di lobi kompleks mahkamah di sini, dijangka untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak.
Zeti yang berbaju kurung biru diiringi beberapa pegawainya dilihat masuk ke lobi mahkamah pada jam 1.55 tengah hari.
Dalam prosiding sebelum ini, isu memanggil Zeti sebagai saksi timbul selepas peguam bela bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertanyakan soalan kepada bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank Cheah Tek Kuang, 75, mengenai kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low di kediaman Zeti.
Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014.
Manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram, perbuatan didakwa dilakukan antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.