Oleh: Nurul Amalina Zainudin & Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 11 saksi pembelaan akan ditampilkan dalam prosiding bela diri terhadap 25 pertuduhan yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bagaimanapun pihaknya dijangka akan membawa lebih banyak saksi sepanjang pembelaan.
“Ada beberapa saksi yang kita akan letakkan dalam keterangan saksi, beberapa yang lain akan disapina, bermakna mereka akan dipaksa untuk hadir (beri keterangan), ada juga saksi-saksi bebas,” katanya dalam sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Biarpun akur dengan keputusan hari ini, Tan Sri Shafee meluahkan rasa kecewa kerana pihaknya telah mengemukakan hujah yang mereka percaya memerlukan pertimbangan yang serius.
“Saya sangat terkejut bahawa ini mungkin satu-satunya kes yang saya pernah kendali di mana pada peringkat ini saya tidak menang walaupun satu mata.
“Tetapi kami tidak berputus asa, kami akan lawan kes ini, dan kami lebih bertekad kerana keputusan itu,” katanya.
Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membela diri atas empat pertuduhan menyalahguna kedudukan bagi mendapatkan suapan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Datuk Seri Najib kelihatan tenang selepas Hakim Sequerah membaca keputusan itu, di akhir kes pendakwaan.
Beliau memilih untuk memberikan keterangan bela diri daripada kandang saksi secara bersumpah dan boleh disoal oleh pihak pendakwaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.