Oleh: Nurul Amalina Zainuddin & Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Datuk Seri Najib Razak membela diri terhadap 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana milik syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib.
Najib didakwa melakukan kesalahan itu ketika menjawat jawatan selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Selepas diberikan tiga pilihan untuk membela diri, Najib turut memilih untuk memberikan keterangan bela diri daripada kandang saksi secara bersumpah dan boleh disoal oleh pihak pendakwaan.
Najib didakwa atas 16 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore berjumlah RM2,196,786,711.87.
Bagi lima pertuduhan lagi, Najib didakwa menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), RM100,000 dibayar kepada UMNO Bahagian Batu Kawan, RM246,000 kepada Lim Soon Peng, RM2,000,000 kepada ORB Solutions Sdn Bhd dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd.
Sementara itu, mahkamah turut memerintahkan Najib membela diri atas empat lagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan jumlah wang yang sama.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.