![](https://media.buletintv3.my/2023/03/pp-cms-2023-03-21T145347.015.jpg)
JEMPOL: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini kerana melakukan perbuatan khianat.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh, Lom Wei Kien, 39, menjalani hukuman penjara 10 bulan, jika gagal membayar denda itu.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didapati melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat berwarna merah pada sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire, menyebabkan pemiliknya kerugian melebihi RM25.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Ria, Jalan Rompin, di sini, pada jam 9 malam, 26 Februari lalu.
Berdasarkan fakta kes, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa mendapati ada seseorang yang tidak dikenali menyimbah cat ke arah rumahnya dan sebuah kereta diletakkan di hadapan rumah itu pada hari kejadian.
Semakan ke atas kereta itu mendapati, ia milik tertuduh dan tertuduh ditangkap ketika sedang memandu kereta berkenaan.
Polis turut menemui dua tong cat berwarna merah dan satu botol minyak tinner di dalam kereta itu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.