Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kerabat Diraja Pahang, 4 lelaki didakwa kes cederakan lelaki

 


Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Anak saudara Sultan Pahang, Tengku Eddie Akasya Tengku Abdul Rahman, 20, dan empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan secara bersama mencederakan seorang lelaki dengan pisau.

Tertuduh lain ialah Nik Norhisham Affendi Nik Mohd Zani, 39, Mohd Taufiq Daud, 32, Khairul Azhar Rosli, 38, dan seorang anggota polis Mohd Fouzi Md Nur, 44.

Bagaimanapun semua tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Mengikut fakta pertuduhan kerabat Pahang serta semua tertuduh secara bersama melakukan kesalahan itu di kawasan lot bangsal kuda, di Jalan Teluk Sisek di sini, pada jam 12:20 tengah malam, 6 Jun lalu.

Mereka didakwa dengan sengaja mencederakan paha kanan Alias Awang, 44, dengan pisau.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan Keseksaan dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan sebatan serta denda.

Pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwa Pahang, Shahrizat Ismail.

Semua tertuduh masing-masing diwakili peguam mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mahkamah menetapkan 11 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM7,000 setiap seorang serta syarat tambahan melapor diri di balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai dan tidak menganggu saksi.

Media sebelum ini melaporkan seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan, mendakwa diserang sekumpulan individu termasuk seorang kerabat Diraja Pahang.

Akibat serangan itu, mangsa mendakwa cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.

Susulan kejadian itu Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menitahkan polis menjalankan siasatan segera, telus dan adil, berhubung dakwaan membabitkan kerabat itu.

Baginda mahu polis menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak termasuk membabitkan kerabat Pahang agar keadilan dapat ditegakkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini