comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Keputusan rayuan pendakwaan pembebasan Bung Moktar, isteri ditetapkan 18 November

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini menetapkan 18 November depan untuk keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Menurut Ahmad Zaidi, mahkamah memerlukan masa untuk menganalisis hujahan bertulis dan hujahan lisan yang dikemukakan pihak pembelaan serta pendakwaan.

Turut bersidang, hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin.

Terdahulu, Ahmad Zaidi berkata, mahkamah tidak membenarkan perbicaraan rayuan hari ini ditangguhkan kerana membabitkan kepentingan awam.

Ia susulan Timbalan Pendakwa Raya (TRP), Law Chin How yang mengetuai rayuan tidak dapat hadir kerana cuti sakit dan prosiding diteruskan oleh TPR, Maziah Mohaide.

“Pada hari ini saya berhasrat untuk menangguhkan bagi bicara rayuan ini. Bagaiamanapun seperti yang dimaklumkan bahawa penangguhan tidak dibenarkan.

“Selepas mendapat arahan daripada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan sekiranya mahkamah ingin meneruskan rayuan pihak perayu (pendakwaan) akan menggunakan sepenuhnya hujahan bertulis yang telah difailkan pada 20 Jun lalu” kata Maziah.

Bung Moktar dan Zizie Izette masing-masing diwakili peguam M.Athimulan dan Datuk Seri K.Kumaraendran.

Pada 7 September tahun lalu, Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya dibebaskan setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri.

Pendakwaan memfailkan rayuan pada 18 September tahun lalu.

Bung Moktar, 64, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati, Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Sebelum ini, pihak pendakwaan menyenaraikan tujuh alasan dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan pasangan suami isteri itu selaku responden.

Pendakwaan berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam menjalankan bidang kuasa semakan apabila membebaskan pasangan terbabit, selepas Mahkamah Sesyen memberi penilaian maksimum terhadap keterangan ketika kes pendakwaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini