comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Keputusan rayuan 6 bekas penuntut UPNM yang dipenjara diketahui esok

 

KUALA LUMPUR: Nasib enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipenjara 18 tahun, selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain akan diketahui di Mahkamah Rayuan esok.

Enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Keputusan sama ada mereka kekal dipenjara 18 tahun atau sebaliknya akan ditentukan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Pada 14 Mei lalu, panel tiga hakim itu selesai mendengar hujah daripada kedua-dua pihak dalam rayuan silang selama tiga hari.

Sebelum ini keenam-enam perayu yang juga responden dalam rayuan itu dihukum penjara mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Pada hari sama, mahkamah juga akan memberi keputusan terhadap rayuan 12 lagi bekas penuntut universiti sama yang dihukum penjara tiga tahun kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Semua 12 mereka itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd. Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhamad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Pada 15 Mei lalu, pihak pendakwaan berhujah, tindakan enam bekas penuntut UPNM mendera dan menyebabkan 80 peratus badan rakan mereka Zulfarhan Osman melecur akibat tekapan seterika wap ialah perbuatan yang melampau.

Timbalan Pendakwa Raya K Mangai berhujah terdapat keterangan menunjukkan lima bekas penuntut itu atas arahan seorang lagi rakan mereka, bergilir-gilir menekap seterika pada anggota badan si mati (Zulfarhan) kecuali pada bahagian muka dan belakang tapak tangan mengakibatkan beliau mengalami 90 kesan lecur yang menyebabkan kematiannya.

Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut itu kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan.

Hukuman penjara 18 tahun mengikut Seksyen 304(a) diberi oleh Hakim Datuk Azman Abdullah selepas melihat kepada pertimbangan pelbagai aspek termasuk semua pihak terjejas, terutama kesan dialami keluarga mangsa.

Selain hukuman penjara 18 tahun, lima penuntut itu kecuali Mohamad Shobirin turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun mengikut Seksyen 330 kerana mencederakan Zulfarhan, iaitu hukuman berkuat kuasa serentak.

Sebelum ini, keenam-enamnya menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu 12 lagi rakan mereka yang dipenjara tiga tahun dibenarkan untuk menggantung hukuman penjara dengan jaminan RM7,000 dikekalkan.

Mengikut pertuduhan, semua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.

Dalam kejadian menyayat hati itu, Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini