comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Keputusan jaminan 14 individu didakwa culik warga Palestin ditangguhkan 

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Keputusan permohonan jaminan ke atas 13 lelaki dan seorang wanita yang didakwa menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit, ditangguhkan kepada 13 November depan.

Keputusan itu dibuat Hakim K. Muniandy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Keputusan permohonan jaminan kesemua tertuduh sepatutnya dijadualkan hari ini, namun ditangguhkan.

Pada 22 Ogos lalu, pihak pendakwaan telah membantah permohonan ke atas 14 tertuduh untuk dilepaskan dengan jaminan atas pertuduhan berkenaan.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Badius Zaman Ahmad sebelum ini berhujah, permohonan itu dengan mengambil kira kesalahan dilakukan kesemua tertuduh adalah serius dan berkepentingan awam kerana melibatkan keselamatan negara serta terdapat isu antarabangsa.

Tambahnya sekiranya kesemua tertuduh dilepaskan dengan jaminan, berkemungkinan saksi pendakwaan dan mangsa akan diganggu tertuduh kerana ada dalam kalangan mereka mempunyai hubungan keluarga.

Manakala Peguam Norma Goh Kim Lian, yang mewakili 10 daripada 14 tertuduh berkata, kes tersebut tidak melibatkan keganasan dan kecederaan serta tidak melibatkan wang tebusan, malah mereka tidak mengenali atau mempunyai hubungan dengan mangsa.

Pihaknya juga memohon supaya kesemua anak guam dilepaskan dengan jaminan kerana mereka tiada risiko untuk melarikan diri dan bersedia sekiranya mahkamah mengenakan syarat, jika jaminan diberikan.

Pada Oktober 2022 lalu, 13 individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan secara niat bersama menahan mangsa, Omar Z M Albelbaisy Raeda, untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini pada 10.40 malam 28 Sept 2022 mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang membawa hukuman minimum penjara 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 7 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini