JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 14 Januari tahun depan untuk keputusan bantahan awal permohonan habeas corpus (penahanan salah) Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH) Sdn Bhd, Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya, Datin Azura Md Yusof.
Permohonan itu dibuat bagi mencabar penahanan mereka mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma 2012).
Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan bantahan awal dikemukakan pihak responden dan barisan peguam pemohon.
Pada prosiding hari ini, peguam responden yang diwakili Peguam Persekutuan iaitu Mohamad Firdaus Sadani Ali, Mohd Zain Ibrahim dan Nur Syahidah Mohamad Kamil mengemukakan hujahan bantahan awal terhadap permohonan berkenaan dengan menyifatkan permohonan itu sebagai jalan ‘pintu belakang’ untuk membebaskan pemohon dengan menggunakan sistem mahkamah.
Mohamad Firdaus berkata, pemohon sebaliknya perlu melakukan semakan kehakiman atau kaedah lain bagi mencabar penahanan mereka bukan menerusi permohonan habeas corpus.
Barisan peguam pemohon pula, diketuai Datuk Rosli Kamaruddin, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah, Hasnan Hamzah, Zaim Rosli, Luqman Zainal, Schanni Feizal, Zahier Rosli.
Turut hadir pada prosiding berkenaan adalah dua peguam Majlis Peguam Malaysia, R Jayabalan dan Khairul Azwad, yang memantau bagi kepentingan awam.
Dalam prosiding sama, hakim turut membatalkan permohonan habeas corpus Pengurus Kafe Ikhwan milik GISBH di Kluang, Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28, selepas ia ditarik balik barisan peguam pemohon.
Hakim memutuskan sedemikian berikutan plaintif dibebaskan di bawah jaminan selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, pada 30 Oktober lalu.
Prosiding permohonan habeas corpus Nasiruddin dan Azura itu didengar pada 30 Oktober lalu, dengan kedua-dua pemohon itu menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia, sebagai responden.
Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin, Azura dan Mohamad Suhaimi dilaporkan dituduh atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Akta 130V (1) di Mahkamah Sesyen Selayang.
Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka dan kesemua 19 individu lain kerana kes itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua 13 lelaki dan sembilan wanita berkenaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.