comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kematian Zulfarhan: Kes jenayah kekejaman paling jarang ditemui – Hakim

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: “Hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu betapa hancurnya dan luluhnya hati dan perasaan mereka (ibu bapa) bila melihat keadaan anak mereka diperlakukan sebegini rupa oleh keenam-enam tertuduh seolah-olah tubuh badan si mati ini tidak sedikit pun mempunyai nilai di kaca mata mereka sehingga mereka tergamak menyeksa dan berbuat kezaliman seperti ini.”

Demikian penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hadhariah Syed Ismail berhubung keputusan rayuan silang kes kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu.

Datuk Hadhariah yang mempengerusikan panel tiga hakim hari ini membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selepas didapati bersalah membunuh Zulfarhan.

Keputusan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap keenam-enam tertuduh pada 2 November 2021 atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Turut bersidang bersama; Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Menurut Datuk Hadhariah, ibu bapa mana yang tidak merasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila mayat si mati dikembalikan ke pangkuan mereka untuk dikebumikan di dalam keadaan yang cukup memilukan dan menyayat hati.

Jelasnya, benar kata pepatah ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Bersyukur, kita bersyukur – Bapa Zulfarhan

Mengulas lanjut, ujar beliau, kes sebegini paling jarang ditemui daripada kes yang pernah berlaku melibatkan jenayah kekejaman.

Katanya, ia amat berbahaya kepada masyarakat dan perbuatan zalim tersebut perlu dihentikan.

“Mahkamah ini tidak akan bertoleransi di dalam kejadian sebegini. Ibu bapa mana yang sanggup menanggung derita melihat anak kesayangan mereka diseksa sebegini rupa sehingga membawa kepada kematian si mati di dalam keadaan yang sungguh mengerikan.

“Oleh itu, kami sebulat suara memutuskan bahawa hanya satu hukuman sahaja yang wajar dijatuhkan terhadap keenam-enam tertuduh iaitu di mana mereka hendaklah dibawa ke suatu tempat penggantungan di mana di sana mereka akan dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Sebaik selesai prosiding yang berlangsung lebih tiga jam itu, ibu bapa kepada Zulfarhan iaitu Zulkarnain Idros, 59, dan Hawa Osman, 60, terus keluar dari mahkamah dan melakukan sujud syukur.

Mereka dilihat menangis dan menadah tangan syukur kerana apa yang diimpikan selama ini supaya enam pesalah itu diheret ke tali gantung tercapai.

Sementara itu, Mahkamah Rayuan turut menggantikan hukuman penjara tiga tahun kepada empat tahun terhadap 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Kesemua mereka yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor pada 1 Jun 2017.

Loading...
Terkini