comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kematian Zulfarhan: 6 bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), selepas didapati bersalah membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 7 tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, selepas menerima rayuan pihak pendakwaan dan mengenepikan hukuman penjara 18 tahun terhadap keenam-enam tertuduh.

Dalam penghakiman, Datuk Hadhariah yang membacakan 232 perenggan keputusan hampir tiga jam berkata, pihaknya membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menghidupkan semula tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Buletin TV3 (@buletintv3)

Turut bersidang, Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Keenam-enam bekas penuntut itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Artikel berkaitan: Kematian Zulfarhan: Kes jenayah kekejaman paling jarang ditemui – Hakim Mahkamah Rayuan

2 November 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati, keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Sementara itu, mahkamah turut menggantikan hukuman penjara tiga tahun kepada empat tahun, terhadap 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Kesemua mereka yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 dan 22 Mei 2017.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini