MELAKA: Ahli perniagaan dan teman wanita antara 9 individu yang direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pergaduhan hingga menyebabkan kematian seorang pengurus syarikat, di sebuah gerai makan di Taman Kenanga, Tengkera, di sini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
Ia bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu semua suspek dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh 9 pagi dengan diiringi anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah.
Sharda Shienha membenarkan reman terhadap semua suspek berusia 20 hingga 38 tahun bermula hari ini hingga 16 Mei depan.
Dalam kejadian semalam, akibat mengeluarkan perkataan tidak senonoh, seorang pengurus syarikat maut dalam pergaduhan di kawasan kedai makan di Jalan Kenanga, di sini.
Mangsa berusia 35 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka, kira-kira 5.20 pagi.