SEREMBAN: Seramai enam saksi tambahan akan dikemukakan peguam yang mewakili keluarga kepada Nour Rania Asyifaa Yuseri atau dikenali sebagai Baby Syifaa untuk memberi keterangan dalam prosiding inkues bagi mencari punca kematian bayi itu.
Peguam Hafiz Norkhan memaklumkan enam saksi berkenaan termasuk bekas Ketua Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik, Bukit Aman, Amidon Anan dan bekas Ketua Polis Daerah Seremban, Nanda Maarof.
Artikel berkaitan: Siasat Semula Kes Kematian Bayi Syifa – Gesa Che’ Puan Besar Khaleeda
Selain itu keluarga terbabit juga menamakan pakar forensik dari Thailand, Dr Khun Ying Pornthip Rojanasunan; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Seremban, Deputi Superintendan Arishah Zairee Abu Bakar; Pakar Forensik, Dr Mohamad Azaini Ibrahim dan seorang jiran.
Pada prosiding pengurusan kes yang bermula jam 10 pagi tadi, Koroner Datin Surita Budin mempersoalkan pihak peguam keluarga yang lambat mengemukakan nama pakar forensik dari Thailand itu sebagai saksi ‘rebuttal’ atau saksi untuk menyanggah.
Sementara itu, Pegawai Pengendali kes, Zahida Zakaria, berkata pejabat pakar forensik dari Thailand memaklumkan, sehingga kini pejabat mereka belum menerima sebarang permohonan untuk memanggil sebagai saksi dalam prosiding berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Oktober ini untuk pengurusan kes dan tarikh bicara kekal pada 8 dan 9 November depan.
Sehingga kini seramai 25 saksi sudah dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa bayi terbabit sepanjang prosiding inkues yang bermula pada 22 September lalu.
Media sebelum ini melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemui tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.
Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.
Artikel berkaitan: Inkues Baby Syifaa, keluarga bawa kejutan